Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Selepas 35 tahun berkhidmat dalam bidang kesihatan negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bakal bersara wajib pada 21 April ini.

Ketika ini di Facebook mendapati beberapa individu dan pihak termasuk Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia memuat hantaran mengenai persaraan beliau sejak beberapa hari lalu termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Untuk rekod, bapa kepada enam anak berusia 60 tahun itu memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlang menyaksikan beliau berhadapan saat mencabar ketika negara berhadapan Covid-19.

Malah beliau juga dianggap ‘panglima’  melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu selama dua tahun lebih.

Malah wajahnya sentiasa di nanti di kaca televisyen secara langsung setiap petang oleh rakyat negara ini kerana usahanya memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Media sebelum ini juga ada melaporkan Dr Noor Hisham dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.

Sementara itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam catatan hantarannya di Facebook pada tiga hari lalu memaklumkan pihaknya mengadakan Mesyuarat Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia yang juga mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Dr Noor Hisham selaku Pengerusi Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia sebelum bersara pada 21 April.

Hantaran itu berkata, satu sesi khas diadakan sebagai penghargaan atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia.

“Beliau turut menitipkan pesanan berikut ‘dalam bekerja kita hendaklah ikhlas, buat yang terbaik dan selanjutnya bertawakal (berserah pada Tuhan),” kata hantaran berkenaan.

Memetik laporan media tempatan, Dr Noor Hisham tidak sabar meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas dia berundur pada 21 April ini iaitu hari dirinya mencecah usia 60 tahun – umur persaraan wajib anggota perkhidmatan awam.

“Persaraan adalah babak kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” katanya kepada The Star.

Ditanya sama ada beliau akan menikmati tempoh persaraannya itu memandangkan dirinya dikenali sebagai seorang yang bekerja keras, Dr Noor Hisham menjawab: “Biar saya bersara dahulu dan saya akan berkongsi dengan anda pengalaman saya kemudian.” – MalaysiaGazette