Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pas Selangor mendedahkan Rizab Tanah Melayu di negeri itu turun mendadak di negeri itu berbanding zaman pemerintahan parti itu sebelum ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mendakwa, berdasarkan isu data Rizab Tanah Melayu setakat 30 November 2022 mendapati ia turun sebanyak 3,200 hektar pada 2019 hingga 2021.

“Pas telah memerintah Negeri Selangor melalui Pakatan Rakyat pada tahun 2008, sejak itu Rizab Tanah Melayu mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak lebih 30,000 hektar.

“Namun, jumlah Rizab Tanah Melayu mulai menurun secara mendadak daripada tahun 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Yunus memberikan kenyataan tersebur berdasarkan kepada kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik bin Nik Ahmad yang mana berkata, rizab tanah di beberapa negeri mengalami penurunan.

Membidas kenyataan itu, Ahmad Yunus berkata, berdasarkan kepada data, Rizab Tanah Melayu di Kelantan yang diperintah oleh Pas telah mencatatkan jumlah paling tinggi dalam negara iaitu sebanyak 1.453 juta hektar.

Manakala, Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak tiada maklumat yang jelas berkenaan Rizab Tanah Melayu atau hak milik Bumiputera.

“Atas dasar akauntabiliti dan tatakelola yang baik, Pas menggesa kerajaan negeri Pakatan Harapan di Selangor memberi penjelasan kepada rakyat dan orang Melayu berkenaan kehilangan 3,200 hektar rizab Tanah Melayu di negeri ini untuk tempoh dari 2019 hingga 2021,” katanya lagi.

Dalam sidang Parlimen pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021 kepada 716,537.28 pada tahun lalu.

Selain Kedah, dua lagi negeri yang turut mencatatkan penurunan jumlah keluasan tanah rizab Melayu adalah Perak dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenakan yuran residency dan cukai harta lebih tinggi kepada migran ekonomi bukan Melayu yang menduduki tanah rizab Melayu dan bukannya ganti-menganti tanah gersang jadi tanah rizab Melayu yang baru pula politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.