Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera dilaporkan hilang semasa terlibat dalam penugasan di kawasan hutan Belum di Gerik, Perak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan BasriĀ  mengesahkan insiden itu berkata, pada 9 April lalu, pada pukul 12.50 pagi pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kehilangan mangsa itu.

“Polis menerima laporan semalam tentang kehilangan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang merupakan anggota tentera.

“Anggota tentera itu didapati daripada Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.

“Siasatan awal mendapati anggota tentera itu hilang dan gagal dikesan ketika sedang menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, hasil siasatan awal mendapati anggota berkenaan telah hilang pada 7 April lalu lebih kurang pukul 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain sedang menjalankan operasi di kawasan tersebut.

“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera yang hilang sejak empat hari lalu itu telah dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula daripada hari kejadian Jumaat lalu.

‘Namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui lagi dan usaha pencarian terus dipergiatkan oleh ATM di lokasi kejadian itu,” tegasnya.- MalaysiaGazette