Gambar hiasan

HIKAYAT dahulu kala telah membicarakan tentang kisah Singapura yang dilanggar todak. Pada waktu kritikal itu, Sang Nadim seorang yang pintar dan cerdas telah memberikan cadangan supaya pemerintah menggunakan batang pokok pisang sebagai perisai negara. Kini, sejarah bakal berulang dalam konteks lebih moden dan berteknologi. Para cendekiawan Singapura telah mempromosikan penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau sinonimnya AI.

Singapura sedar bahawasanya AI adalah sebuah teknologi yang bakal mengambil alih majoriti tugas manusia. AI tidak boleh dibendung lagi bak kata Bill Gates, AI merupakan
instrumen alaf baru yang diluar batas kemampuan teknologi yang tersedia. Oleh itu, kerajaan Singapura telah memberikan perhatian yang sangat khusus di dalam pembangunan teknologi AI. Usaha ini disokong oleh pihak penyelidik dan cendekiawan di negara yang sinonim dengan jolokan ‘The Lion’ itu. Mereka telah menjangkakan tentang penggunaan teknologi yang diluar kemampuan biasa di pelbagai bidang dan sektor terutamanya sektor ekonomi.

AI Singapura

Masyarakat antarabangsa, regional dan lokal sudah sedia maklum bahawa kerajaan Singapura telah pun melancarkan polisi AI Singapura. Polisi ini bertujuan untuk memaksimakan kajian ke atas potensi penggunaan AI untuk memastikan Singapura kekal menjadi tonggak utama ekonomi di Asia Tenggara. Selain itu, sektor sosial, perniagaan, pendidikan dan sukan juga diberi perhatian yang khusus di dalam program AI Singapura.

Ianya adalah usaha yang sangat berfikiran jauh dan terkehadapan oleh pemerintah Singapura. AI Singapura telah menghimpunkan kesemua institusi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura dan ekosistem yang bertenaga bagi syarikat pemula AI dan syarikat yang membangunkan produk AI. Usaha ini bertujuan untuk mengembangkan pengetahuan, mencipta alatan dan membangunkan bakat untuk memperkasakan pelaksanaan AI Singapura.

Ia didorong oleh kerjasama dan sokongan dari setiap entiti kerajaan dan swasta yang terdiri daripada Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Negara Pintar dan Pejabat Kerajaan Digital, Lembaga Pembangunan Ekonomi, Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom, SGInnovate, dan Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu. NRF akan melabur sehingga S$ 150 juta dalam tempoh lima tahun dalam AI Singapura.

Smart Nation Singapura

Pelan Tindakan Kerajaan Digital (DGB) telah memperincikan 14 petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mengukur kemajuan pendigitalan oleh kerajaan Singapura. Dasar dan inisiatif
baharu terus ditambah pada DGB untuk membantu pemerintah Singapura mencatat arus perubahan pantas dalam acara teknologi di dunia. Sebagai contoh, usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan teknologi ialah alat digital untuk pengesanan kenalan dan pembukaan semula ekonomi Singapura dengan selamat di tengah-tengah pandemik Covid-19. Ini menunjukkan Singapura telah berputar dengan cepat dan membangunkan teknologi pintar melalui AI dengan begitu efisien dan efektif.

Dari 2018 hingga 2023, dorongan ke arah pendigitalan yang lebih mendalam dan lebih meluas telah dilaksanakan oleh kerajaan Singapura bagi memastikan keseluruhan sistem AI beroperasi di negara pintar Singapura. Terdapat usaha yang lebih besar untuk menggunakan pendigitalan untuk mencipta polisi yang mesra pengguna dan boleh dimanfaatkan dengan mudah sebagai tindak balas kepada gelagat pengguna. Ini membolehkan kerajaan Singapura bertindak balas terhadap keperluan rakyat dengan lebih berkesan misalnya platform LifeSG yang membantu memudahkan kehidupan rakyat melalui teknologi pintar.

Akhirnya, memandangkan era digital berkembang pesat maka terpulanglah kepada kita untuk bermimpi dan membayangkan dengan lebih besar supaya kita dapat merealisasikan maksud sebenar menjadi negara pintar. Ianya ialah sebuah keadaan yang tiada kesudahan kerana teknologi terus berkembang maju dan penciptaan melalui sains dan teknologi tiada batasan serta titik noktah Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital di dalam memanfaatkan teknologi untuk melaksanakan transformasi dalam kesihatan, pengangkutan, kehidupan bandar, perkhidmatan kerajaan dan perniagaan adalah cabaran yang perlu dirintangi. Di dalam hal ini, pelan tindakan AI 2030 Singapura adalah terkehadapan dan mendahului semua negara di Asia Tenggara. Jika negara lain di rantau ini leka, anda akan tersekat di dalam Hikayat Lama sementara Singapura Maju Ke Hikayat AI!!

Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan, Fakultis Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM