Lelaki tertekan jiwa akibat hilang pekerjaan ditahan merosakkan cermin kereta jiran dan menjalani hukuman penjara selepas gagal membayar denda selepas mengaku bersalah di mahkamah shah alam.

KUALA LUMPUR – Gara-gara tertekan akibat hilang pekerjaan dan mendakwa jirannya sering membuat bising, seorang lelaki memecahkan cermin kereta jirannya itu di Taman Puchong Perdana, Puchong, 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menahan suspek di lokasi kejadian dan merampas sebatang kayu berikutan aduan yang diterima daripada seorang wanita.

“Hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian berlaku kerana lelaki itu mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan dan melepaskan geram kerana rumah pengadu (jiran) selalu membuat bising sehingga ganggu ketenteramannya.

“Suspek tidak mempunyai pekerjaan ketika ini dan semakan juga mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada minggu lalu.

Menurut Wan Azlan, suspek mengaku bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa.

“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda mahkamah sebanyak RM3,300 ke atas tertuduh.

“Namun, suspek gagal membayar denda mahkamah tersebut menyebabkan dia dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara selama enam bulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette