MAVCOM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Ir. Alice Jawan Empaling dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang terbaharu bagi tempoh 3 tahun, berkuat kuasa dari 28 Mac 2023 hingga 27 Mac 2026.

Alice ialah Setiausaha Tetap semasa Kementerian Pengangkutan Sarawak sejak 1 Oktober 2022.

Beliau turut memegang beberapa jawatan Pengurusan Kanan dan Lembaga Pengarah di negeri Sarawak termasuk memainkan peranan sebagai Pengerusi Lembaga Boya dan Api Sarawak, Pengerusi Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak dan Timbalan Pengerusi Lembaga Sungai-sungai Sarawak.

Selain pada itu, beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sejak 2021.

“Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia amat berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Alice Jawan Empaling kepada MAVCOM. Kepakaran, pengalaman luas dan semangat dalam perkhidmatan beliau kepada rakyat akan memainkan peranan penting untuk memacu industri penerbangan Malaysia ke hadapan seiring dengan usaha bagi membangunkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial serta responsif kepada keperluan rakyat.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengesahan dan sokongan yang diberi megenai pelantikan Alice sebagai Anggota Suruhanjaya MAVCOM.

“Kedua-dua pihak MOT dan MAVCOM menantikan penglibatan beliau dan yakin bahawa pelbagai manfaat akan diraih daripada pandangan serta pengetahuan beliau,” kata Anthony Loke, Menteri Pengangkutan. – MalaysiaGazette