Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan merekodkan kadar kemalangan melibatkan penunggang p-hailing di seluruh negara sejak 2018 hingga Mei 2022 berjumlah 1,242 kes.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 112 kes melibatkan kematian, 82 kes kecederaan parah (82 kes) dan kecederaan ringan (1,048 kes).

“Jumlah kes ini kita perolehinya daripada rekod polis dan agensi-agensi yang terlibat, walaupun kementerian tidak mempunyai data jumlah sebenar penunggang atau penggiat yang terlibat dalam industri p-hailing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan dan menjawab soalan dalam usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pelesenan Kenderaan Perdagangan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Hasbi menggalakkan penunggang p-hailing menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang melindungi dan menjaga kebajikan mereka serta waris.

Katanya, antara faedah perlindungan SKSPS ialah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggunggan, pemulihan jasmani, vokasional dan faedah pendidikan.

“Pihak syarikat sememangnya akan diminta untuk sama-sama melindungi kebajikan penunggang ini,” katanya.

Mengenai terdapat kes pengendali p-hailing menekan penunggang agar mempercepatkan penghantaran bagi mengejar tempahan berikutnya, Hasbi berkata, perkara itu akan diambil maklum dan dikawal selia di bawah peraturan pelesenan yang akan ditetapkan nanti.

Beliau turut menjawab soalan dibangkitkan mengenai aktiviti kenderaan berat di jalan raya dan lebuh raya terutama musim perayaan.

Katanya, penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.

“Selain itu, 48 stesen penguatkuasa atau stesen timbang di seluruh negara beroperasi sepanjang masa, termasuk JPJ dibekalkan 67 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan tersebut.

“Sepanjang tempoh 2018 hingga September 2021, sejumlah 193,950 notis saman telah dikeluarkan atau purata 64,650 notis saman setahun,” katanya.

Dalam soalan lain, Hasbi mengalu-alukan orang ramai mengemukakan sebarang aduan mengenai salah laku di jalan raya kepada JPJ.

Katanya, mereka boleh kemukakan maklumat penting seperti gambar, waktu, tarikh dan lokasi berlaku pelanggaran atau kejadian salah laku itu untuk proses siasatan ke atas aduan berkenaan oleh JPJ.

Mengenai soalan dibangkitkan iaitu berkaitan kes penyeludupan minyak dan pengubahsuaian kenderaan berat untuk aktiviti itu, beliau menjelaskan, kementeriannya mengambil maklum mengenai perkara ini.

Bagaimanapun, kata beliau, isu penyeludupan minyak adalah di luar skop Akta 333 dan di luar skop pindaan pada Akta 715, tetapi kementeriannya dan JPJ senantiasa bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani isu terbabit. – MalaysiaGazette