KUALA LUMPUR – – Perdagangan borong & runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM134.3 bilion, meningkat 14.7 peratus pada Februari 2023.disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mengatasi subsektor lain dengan peningkatan sebanyak RM9.4 bilion atau 19.2 peratus kepada RM58.2 bilion.
Kenderaan bermotor juga berkembang dengan 36.1 peratus atau RM4.5 bilion kepada RM16.9 bilion.
Dalam tempoh yang sama, perdagangan borong meningkat 5.9 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM59.1 bilion, bagaimanapun bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong & runcit menurun 0.6 peratus, disebabkan oleh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing merosot -2.0 peratus dan -2.4 peratus.
Pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 19.2 peratus pada Februari 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 21.1 peratus atau RM3.9 bilion kepada RM22.1 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan 24.2 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan 45.9 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau 18.4 peratus, jualan runcit barangan isi rumah 7.5 peratus, jualan runcit peralatan komunikasi & maklumat 8.0 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar 14.0 peratus dan jualan runcit di gerai & pasar 21.0 peratus.
Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun 2.4 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan 36.1 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 49.8 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM9.3 bilion, diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor 22.6 peratus, penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor 21.2 peratus dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan
motosikal 24.4 peratus.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat sebanyak 11.7 peratus, disumbangkan oleh kenaikan pada jualan kenderaan bermotor sebanyak 21.3 peratus.
Kenaikan 5.9 peratus dalam subsektor perdagangan borong disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat sebanyak RM1.7 bilion atau 15.8 peratus kepada RM12.5 bilion, diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau 9.9 peratus, jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup 10.0 peratus dan jualan borong bukan pengkhususan 6.1 peratus.
Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menurun -2.0 peratus, disebabkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang menguncup -5.1 peratus kepada RM12.0 bilion.
Indeks jualan runcit melalui internet pada Februari 2023 merekodkan pertumbuhan 9.4 peratus tahun ke tahun (Januari 2023: 9.6 peratus).
Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot 1.7 peratus berbanding bulan sebelum.
Bagi indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Februari 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.6 peratus dipacu oleh kenderaan bermotor yang meningkat 24.0 peratus.
Perdagangan runcit & perdagangan borong juga merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan masing-masing 13.9 peratus dan 3.4 peratus.
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 5.5 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette