Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn.Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kanan) semasa membuat Lawatan Kerja ke Tapak Pembinaan Terowong Genting ECRL di Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023.

BENTONG — Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini berada pada tahap 42 peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tahap kemajuan yang direkodkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran projek itu iaitu pada 2026.

“Kerja-kerja pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai kemajuan sebanyak 42.06 setakat Mac 2023.

“Ia selari dengan jadual penyiapan jajaran projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke ITT Gombak, Selangor pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri lawatan kerja ke tapak pembinaan terowong Genting ECRL di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn.Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kanan) semasa membuat Lawatan Kerja ke Tapak Pembinaan Terowong Genting ECRL di Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong Young Shefura Othman, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailanj Hashim dan Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Mengulas mengenai kerja-kerja pengorekan Terowong Genting, Anthony berkata, ia antara cabaran besar untuk disiapkan seperti yang dijadual kerana terowong berkenaan bakal menghubungkan Bukit Tinggi, Pahang dengan Gombak, Selangor.

Jelas beliau, pembinaan Terowong Genting merupakan komponen utama sebagai jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang.

Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

“Terowong Genting merupakan yang pertama dikorek menggunakan Tunnel Boring Machine (TBM) yang canggih berbanding kaedah gerudi dan letup seperti di terowong ECRL lain.

“Kerja-kerja pengorekan bagi Terowong Genting yang pertama telah mencapai kedalaman sebanyak 2,602 meter sehingga kini, manakala Terowong Genting yang kedua telah mencecah 2,497 meter.

“Penembusan Terowong Genting sepanjang 16.39km dijangka dicapai pada suku kedua tahun 2025,” katanya lagi.

ECRL merupakan projek sepanjang 665 km yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan ECRL diteruskan dengan pengurangan kos kepada RM74.96 bilion berbanding kos asal RM85.97 bilion selepas ia dihentikan pada 2018. – MalaysiaGazette