Asyraf Mara MRSM berbayar TVET
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu mengikis stigma bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) adalah pendidikan kelas kedua.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, masih ramai khususnya ibu bapa yang mempunyai persepsi sedemikian mengenai TVET.

“Namun hakikatnya, graduan TVET lah sebenarnya yang mempunyai kadar kebolehpasaran dan gaji permulaan yang lebih tinggi berbanding pendidikan tinggi.

“Ini seiring dengan Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertarikh 6 April 2023,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau yakin Mara akan terus menerajui agenda TVET negara berbekalkan pengalaman, kepakaran dan kekuatan institusi dan capaian di seluruh negara melalui GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Perindustrian Mara Jepun (MJII), Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Asyraf Wajdi menambah, kerajaan juga akan terus komited untuk memperkasakan agenda TVET ke tahap lebih tinggi.

“Ia bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat, malah penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) baharu melalui penyediaan bakat-bakat dan tenaga kerja yang bersesuaian,” jelasnya. – MalaysiaGazette