Dr. Zambry Abdul Kadir.

PUTRAJAYA – Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan atau layanan kasar terhadap orang awam, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serangan udara junta tentera Myanmar ke atas orang awam yang menghadiri perhimpunan di sebuah kampung, dianjurkan oleh pihak yang membantah junta.

Sambil menyuarakan kebimbangan Malaysia, beliau berkata Indonesia selaku pengerusi ASEAN tahun ini telah memaklumkan kepada Malaysia mengenai perkembangan semasa di Myanmar.

“Kami agak bimbang dengan (serangan udara) itu dan saya rasa Indonesia akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

“Pendirian Malaysia, kami menentang sebarang bentuk keganasan yang berlaku di Myanmar dan itu juga pendirian ASEAN secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan Wisma Putra dan kor diplomatik.

Menurut laporan media, tentera Myanmar mendakwa pihaknya melancarkan serangan ke atas perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak pemberontak dan jika orang awam terbunuh ia adalah kerana mereka dipaksa membantu “pengganas”.

Sekurang-kurangnya 100 orang termasuk kanak-kanak terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan udara mengerikan yang dilakukan oleh tentera junta ke atas orang awam di kampung Pazigyi di Perbandaran Kanbalu di wilayah Sagaing, Myanmar.

Jet junta menggugurkan bom dan helikopter menggunakan mesingan menyasarkan lebih 100 orang yang berkumpul di kampung itu untuk upacara perasmian pejabat pentadbiran awam tempatan pada Selasa pagi.

Kemudian pada hari yang sama, junta melancarkan serangan udara kedua ke atas kampung itu ketika orang ramai cuba mencari dan mengenal pasti mangsa yang terkorban.

Sempena majlis itu, Zambry turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM561,996 (US$124,179) daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakvat Palestin kepada Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Daripada jumlah itu, US$50,000.00 telah disumbangkan kepada Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan.

Sejumlah US$30,000 telah disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Palestin untuk kemudahan sistem solar di dua sekolah di Tebing Barat, projek kerjasama bersama antara Kedutaan Malaysia di Amman dan Kementerian Pendidikan Palestin.

Sementara itu, sebanyak US$44,179 lagi diagihkan kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk projek pembinaan semula rumah di Gaza.

AAKRP ditubuhkan (secara rasmi) pada tahun 2002 di bawah Seksyen 9 Akta Acara Kewangan, diberi mandat untuk menyalurkan dana sumbangan orang ramai kepada rakyat Palestin.

Setakat ini, lebih RM20 juta telah disalurkan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai projek dan inisiatif.- BERNAMA