KUALA LUMPUR – Seorang pemandu dan kelindan lori maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di KM402.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, berkata, 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.41 pagi.
“Setiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler jenis Scania yang telah dilanggar dari bahagian belakang oleh sebuah lori yang membawa muatan ais batu jenis Isuzu.
“Dua orang mangsa telah tersepit pada bahagian pemandu dan kelindan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya.
Operasi yang diketuai Komander Operasi PBK II Hairun Afiza Ahmad berjaya mengeluarkan mangsa dan menyerahnya kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
Identiti dua mangsa itu belum dikenal pasti. – MalaysiaGazette