Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diiringi Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad SPNB, Datuk Hasleen Isnin (dua kanan) menyerahkan replika kunci pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Pejabat KPKT, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 13 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Kriteria utama bagi pendapatan bulanan isi rumah pemohon yang layak untuk memohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah dinaikkan dari RM3,000 menjadi RM5,000 bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memohon.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming barkata, selain itu, enam reka bentuk baharu juga diperkenalkan untuk RMR 2023 yang mana pemohon boleh memilih reka bentuk yang bersesuaian dengan tanah atau tapak yang dimiliki.

Justeru, beliau menyeru kepada mereka yang layak untuk merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk memiliki rumah sendiri menerusi program RMR itu.

“Selain itu, bayaran bulanan untuk program RMR juga kekal seperti sediakala iaitu serendah RM300 sebulan selama 16 hingga 25 tahun.

“Langkah ini juga diambil bagi memastikan pemohon yang baharu tidak terbeban dari segi kewangan dalam masa negara sedang mengharungi isu kenaikan harga barangan yang sedang melanda seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tawaran Dan Kunci RMR di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa.

Seramai 40 orang penerima yang terdiri daripada 20 penerima kunci dan 20 penerima surat tawaran melibatkan pemohon dari negeri Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan hadir pada majlis itu.

Majlis penyerahan surat tawaran dan kunci rumah RMR itu juga telah berlangsung di seluruh negeri yang melibatkan seramai 500 penerima secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut, Kor Ming menambah, walaupun negara berhadapan dengan peningkatan harga barang asas binaan yang tidak menentu, beberapa langkah proaktif telah diambil pihaknya.

Jelas beliau, ia untuk memastikan harga sebuah unit RMR yang perlu dibayar oleh pemilik akan terus kekal seperti sebelum ini.

“Antaranya adalah dengan pengekalan subsidi sebanyak RM20,000 dari pihak kerajaan bagi setiap unit rumah RMR.

“Ini bermaksud, setakat ini kerajaan telah memperuntukkan jumlah subsidi sebanyak RM10 juta untuk diberikan kepada 500 penerima surat tawaran dan kunci pada hari ini,” katanya.

Kor Ming memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM358 juta untuk pembinaan RMR yang dijangka akan mampu membina sebanyak 4,250 unit di seluruh negara pada tahun ini pada harga bermula RM 75,000 seunit.

Katanya, peruntukan itu juga bakal menyaksikan peningkatan yang amat signifikan bagi jumlah RMR yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia sekali gus menyumbang kepada sasaran kerajaan dalam menyediakan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025.

“Sejak 2002 sehingga bulan Mac 2023, usaha pembinaan RMR telah dipergiat dan menyaksikan SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 56,002 unit di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.