Gambar tular menunjukkan makanan hangit serta karipap tanpa inti antara dibeli pelanggan di beberapa bazar Ramadan.

BARU-baru ini terpapar pelbagai cerita kurang menarik berkenaan kebersihan dan kualiti makanan yang disajikan di bazar Ramadan. Isu karipap oksigen, makanan hangit, basi, berulat dan berkulat menjadi bualan di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial berkongsi pengalaman buruk mereka membeli aneka makanan yang kelihatan menarik, namun berakhir kecewa tatkala ingin menjamu selera ketika berbuka puasa. Hal ini bukanlah perkara baru, kerana saban tahun ketika menjelang bulan Ramadan yang penuh barakah ini, pelbagai cerita berkaitan kualiti dan harga juadah makanan yang tidak masuk akal menjadi polemik.

Pemeriksaan dan penarafan kualiti makanan harus dititik beratkan oleh pengusaha bazar Ramadan itu sendiri. Ini kerana, pengguna yang telah seharian menahan diri dari lapar dan dahaga pastinya mengharapkan makanan yang berkualiti dengan harga yang dilaburkan. Kualiti semestinya menjadi keutamaan dalam aspek penyediaan, pemprosesan dan penghasilan makanan yang ingin dijual.

Bahkan ‘rasa’ juga lebih terjamin hasilan kualiti makanan yang baik. Menurut Islam makanan yang halal itu bermaksud  ‘bersih dan selama’, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah (ayat 168) maksudnya, “Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”.

Oleh itu, setiap peniaga perlu memastikan bahan mentah yang digunakan dalam menghasilkan makanan atau produk kepada pengguna adalah bersih, selamat, tidak dikitar semula dan terpelihara kualitinya.

Usaha yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ops Kebersihan perlu diteruskan bagi membuat pemantauan ke atas bazar Ramadan. Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pemantauan yang akan dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) termasuklah pemeriksaan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

Peniaga dan pengusaha perniagaan berasaskan makanan ini perlu cakna tentang penyakit atau implikasi buruk yang boleh dihadapi pengguna yang membeli makanan tersebut. Ini kerana makanan yang tercemar boleh mengundang keracunan dan maut. Malah, sekiranya makanan yang dijual itu di makan oleh golongan kanak-kanak, ibu mengandung mahupun warga emas yang mempunyai kadar imuniti badan yang lebih rendah, pastinya ia bakal mengundang bahaya yang lebih buruk lagi.

Konklusinya, bulan Ramadan sering dikaitkan dengan bulan yang membawa kepada berita kegembiraan sekiranya dihayati dan beramal dengan baik. Demikian juga kepada peniaga bazar Ramadan yang dapat menyumbang secara langsung kepada kegembiraan insan lain.

Ini kerana, makanan yang sedap menambahkan kegembiraan sewaktu berbuka. Makanan tidak berkualiti pula akan merosakkam kegembiraan. Justeru, kegembiraan peniaga mengaut keuntungan seharusnya digandingkan dengan kegembiraan orang yang berbuka puasa. Biar sama-sama merasa gembira.

Oleh: Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Fakulti Kepimpinan & Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr Harris Shah Abd Hamid
Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan
Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP