Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengingatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak mengulangi peristiwa kalah saman RM120,000.

Sebaliknya, Shaiful Hazizy meminta Muhammad Sanusi menghentikan membuat spekulasi atau kenyataan mengenai perkara yang belum pasti bagi mengelak beliau diambil tindakan undang-undang.

Jelas beliau, tuduhan Muhammad Sanusi bahawa Kerajaan Pusat cuba menyingkirkannya daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara tidak timbul, ini kerana kuasa bagi melantik wakil negeri ke majlis itu hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah.

“Mengenai pelantikan Majlis Kewangan Negara, sudah jelas Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan ia perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri yang dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu yang diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

“Di sisi Perlembagaan, maka kuasa muktamad terletak di tangan Sultan Kedah apabila hanya Baginda boleh memperkenan wakil negeri di dalam Majlis Kewangan Negara.

“Jadi saya meminta Menteri Besar agar berhenti membuat spekulasi atau kenyataan berkenaan sesuatu perkara yang tidak pasti. Jangan sampai peristiwa kalah saman RM120,000 berulang lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Shaiful Hazizy, adalah tidak wajar untuk Muhammad Sanusi menuduh kerajaan ketika ini berkomplot untuk mengetepikan beliau, sedangkan pihak terbabit tiada kuasa menentukan wakil negeri.

“Menteri Besar perlu menghentikan sandiwara politik yang akhirnya menunjukkan beliau tidak faham peruntukan undang-undang sedia ada.

“Selain itu, saya juga mencabar Muhammad Sanusi untuk mendedahkan butiran surat kononnya yang melobi agar beliau disingkirkan daripada keanggotaannya di Majlis Kewangan Negara kerana perkara ini adalah tuduhan yang serius,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa punya sembang Ketua Penerangan UMNO ni!!! Macam good good je… budak mabok ketum pun TAHU KUASA SULTAN.
    Lidah panjang tapi kontot bercakap. sembang la selokbelok KUASA MENCADANGKAN itu dari mana sebelum Raja atau Sultan memberi KUASA LANTIKAN.
    sembang macam tin susu mamak buat apa? belajar topics untuk Jujur pada nitizen

Comments are closed.