utusan Fahmi
Fahmi Fadzil (paling kiri) menziarahi Muhammad Basir Abu Bakar (dua dari kiri) dan Noor Azlina Jaafar (tiga dari kiri) di rumah mereka di Seri Kembangan, Selangor, hari ini. (Gambar: Facebook Fahmi Fadzil)

KUALA LUMPUR – Bekas wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung menghargai keprihatinan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengunjungin beliau di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, selain mendengar luahan masalah yang dihadapi mereka sekeluarga, Fahmi turut mencadangkan pemberian pelbagai bantuan seperti talian internet percuma selama tiga tahun serta menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kami sekeluarga amat berbesar hati dengan kunjungan dan keprihatinan beliau.

“YB juga akan berbincang dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu kami meningkatkan pendapatan melalui perniagaan dalam talian serta latihan kemahiran baharu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Muhammad Basir, 44, disahkan mengalami kerosakan injap jantung sejak awal 2020 dan beliau merupakan salah seorang daripada lebih 800 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang diberhentikan tanpa pampasan setelah syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini menutup operasinya pada 9 Oktober 2019.

Selepas itu, Muhammad Basir dan isterinya, Noor Azlina Jaafar, 45, yang juga bekas jurufoto Utusan berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara kehidupan bersama tiga anak yang masing-masing berusia 13, 11 dan 8 tahun.

Mereka mencari pendapatan dengan menjual burger dan pewangi kereta selain menjadi ejen Mamasab Bakery serta ejen kereta sewa.

Muhammad Basir pernah memenangi Anugerah Kewartawanan Berita Bahasa Melayu Terbaik pada majlis Hadiah Kewartawanan 2005 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Kunjungan Fahmi itu adalah sempena program sulung Kasih@HAWANA 2023 dan sumbangan yang disampaikan adalah daripada Kementerian Komunikasi dan Digital, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan Aeon Big yang antara lain merupakan kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri.

Program tersebut yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 pada 29 Mei depan, adalah manifestasi keprihatinan kementerian dan komuniti media dalam menyelami penderitaan dan kesukaran yang dialami golongan berkenaan.

Muhammad Basir menambah, Fahmi juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil 800 bekas pekerja Utusan Melayu terbabit dan berbincang dengan mereka berhubung masalah yang mereka hadapi dan bantuan yang boleh diberikan oleh pihaknya. – MalaysiaGazette