Dr Zaliha merasmikan Buku Kerangka Penyelidikan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) di Kuala Lumpur hari ini.

SETIA ALAM – Buku Kerangka Penyelidikan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) memberi gambaran menyeluruh tentang status terkini penyelidikan dalam aspek berkenaan dalam negara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang merasmikan buku berkenaan berkata, kandungan utama buku tersebut adalah untuk memperincikan keperluan umum pelaksanaan penyelidikan perubatan tradisional dalam negara selaras dengan garis panduan dan peraturan semasa.

“Beberapa perkara penting dalamnya adalah tadbir urus PT&K, domain penyelidikan yang merangkumi penyelidikan mengenai terapi berasaskan PT&K, penyelidikan mengenai bahan ubatan tradisional dan penyelidikan konvensional farmaseutikal perubatan herba.

“Selain mengandungi tentang cabaran berkaitan pelaksanaan dan penilaian penyelidikan termasuk hala tuju PT&K,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian yang berlangsung di Institut Kesihatan Negara hari ini.

Jelas Dr Zaliha, buku itu diterbitkan sebagai rujukan dan panduan pihak berkepentingan yang berminat dalam pelaksanaan dan penilaian penyelidikan perubatan tradisional.

Dalam masa yang sama, beliau turut merasmikan Garis Panduan Penyelidikan Perubatan Herba yang merangkumi tatacara penyelidikan dalam membangunkan produk herba berasaskan saintifik.

“Garis panduan ini bertujuan untuk penyelidikan produk herba dan tuntutan terapeutik seperti yang ditakrifkan oleh perubatan konvensional. Ini termasuklah maklumat komprehensif mengenai data yang diperlukan dalam pembangunan produk herba khususnya merangkumi kualiti, pra-klinikal dan klinikal,” tambahnya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam menjamin keselamatan dan kualiti perkhidmatan PT&K kepada masyarakat.

“Sehubungan itu penyelidikan mempunyai peranan penting dalam usaha meningkatkan kualiti dan daya saing bidang PT&K,” katanya lagi.- MalaysiaGazette