KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, DJ Lin nekad melakukan penghijrahan dengan tampil berhijab penuh selepas pulang dari Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah.
Pemergian ibu pada tahun lalu disusuli abangnya baru-baru ini membuatkan DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid tersedar sekali gus terbuka hati untuk memakai tudung.
“Saya rasa apa yang terjadi dalam kehidupan saya terutamanya selepas emak saya meninggal dunia dan ditambah pula dengan dengan kehilangan abang kandung saya yang betul-betul membuatkan saya tersentak.
“Saya juga fikir makin lama umur kita semakin meningkat dan umur saya pun sudah masuk 48 tahun.
“Abang pertama saya meninggal dunia pada umur 51 tahun. Jadi saya rasa mungkin kali ini Allah SWT hendak berikan saya kesedaran agar saya berubah demi kebaikan,” katanya yang memiliki status ibu tunggal dua anak.
Mengulas lanjut, DJ Lin sudah lama berhasrat untuk menutup aurat tetapi seolah-olah belum berjaya sebelum menemui ‘jalan’ ketika menunaikan umrah.
“Sebenarnya sudah beberapa kali saya terfikir untuk menutup aurat sepenuhnya tetapi tidakak tahu kenapa lambat untuk saya buat keputusan ini.
“Di sana saya rasa sangat tenang. Tak ada rasa panas. Kalau ikutkan waktu itu di Makkah sangat panas dengan jutaan jemaah mengerjakan umrah.
“Walaupun kita dengan tudung labuh, berjubah dan memakai stokin tangan, tapi saya rasa sangat selesa,” ujarnya lagi kepada mStar semalam.
Sebelum itu, ibunya iaitu Puteh Jantan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Larkin Jaya, Johor Bahru pada 24 Jun tahun lalu. – MalaysiaGazette