PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak tidak membuat penilaian sendiri berhubung siasatan penahanan pegawai Kementerian Sumber Manusia termasuk pegawai kanan Sivakumar.

Jelas beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas bertindak terhadap sesiapa sahaja sekiranya mempunyai asas.

“Siasatan itu merupakan keputusan SPRM yang mana selari dengan arahan saya sebelum ini.

“Tapi jangan kita mendahului dari segi menjangkakan apa-apa yang lain kerana saya tidak ada apa-apa maklumat selain daripada dimaklumkan tentang penahanan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua individu termasuk pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar ditahan SPRM berhubung siasatan menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pelantikan Mohammed Rashdan Yusof sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Tenaga akan diteliti semula susulan terdapat dakwaan wujud konflik kepentingan.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu (lantikan Mohamed Rashdan) tapi biar saya teliti dahulu.

“Sepatutnya tidak berlaku sebarang konflik kepentingan namun sekiranya ada saya akan membuat perubahan sama seperti perubahan yang saya lakukan pada Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Datuk Seri Abdul Azeez Rahim),” katanya ringkas. – MalaysiaGazette