Anwar Ibrahim.

PERMATANG PAUH – Kerajaan Persekutuan  meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta secara dana pinjaman mudah bagi memastikan pemilikan hartanah Bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, dana itu akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh.

Jelas beliau, pembangunan tanah wakaf itu akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang mana kini di bawah pimpinan Pengerusi baharu, Tan Sri Khalid Ramli.

“Tanah wakaf di negeri ini (Pulau Pinang) ada  berusia puluhan dan ratusan tahun tetapi terbiar begitu malah ada yang tidak dibangunkan serta tidak digunakan ikut saluran yang betul.

“Ada sesetengah tanah wakaf terletak di kawasan strategik jadi kita boleh bangunkan untuk kepentingan masyarakat Melayu di negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang hari ini.

Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang merupakan platform untuk ahli mesyuarat mempertimbangkan cadangan-cadangan pelaksanaan program dan projek khusus kepada Bumiputera di negeri ini bagi meningkatkan dan menambah baik tahap pencapaian masyarakat Bumiputera Pulau Pinang, terutamanya dalam aspek sosioekonomi.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan, kerajaan juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz di negeri ini mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET). 

“Program itu berupaya melahirkan anak-anak Bumiputera Islam yang holistik serta lengkap dengan ilmu pengetahuan agama dan kemahiran teknikal.

“Ini susulan perbincangan dengan pengusaha dan pengurus maahad tahfiz yang menyatakan pelajar tahfiz perlu diberi peluang dan pendedahan dalam bidang lain agar peluang pekerjaan mereka tidak terbantut.

“Jadi kita setuju selain menghafal al-Quran, pelajar tahfiz juga akan diberikan latihan TVET,” kata beliau. – MalaysiaGazette