BUKIT MERTAJAM – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM5.4 juta bagi pembinaan masjid baharu Mengkuang Titi di Kubang Semang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan masjid itu menelan kos keseluruhan RM9 juta namun peruntukan berjumlah RM2.5 juta sudah dikumpul pihak kariah manakala RM1.1 juta diberikan oleh kerajaan negeri.
“Istimewanya di Mengkuang Titi ini, kariah dia ambil langkah sendiri yang mana bila bincang dengan pegawai di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Kementerian Kewangan mereka beri satu perhatian bahawa masyarakat dan kariah ini antara yang sangat proaktif dengan mengambil ikhitar dari awal sehingga berjaya kutip RM2.5 juta.
“Pembinaan masjid ini adalah seruan kepada semua tidak kira Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tapi usaha kariah lebih besar apatah lagi bila kita ada saham dalam pembinaan masjid.
“Meskipun pembinaan masjid ini dijadualkan bermula awal tahun depan namun saya minta pembinaanya disegerakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di sini hari ini.
Turut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Pengarah Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Untuk makluman, kariah Mengkuang Titi asalnya merupakan sebahagian daripada kariah Mengkuang Semarak dengan keseluruhan penduduk dianggarkan berjumlah 6,000 orang.
Pembinaan masjid atas keluasan tanah 3.2 ekar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang itu mengambil masa dua tahun dan dijangka mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihaknya berharap projek masjid itu didirikan dengan niat yang betul dan bukannya semata-mata mempamerkan kebanggaan serta kemegahan.
“Masjid ada dua kategori, ia didirikan dengan semangat ketakwaan dan satu lagi masjid yang membawa kepada kemungkaran.
“Jadi jawatankuasa masjid kena ingat dan perlu mengusul kegiatan untuk mengimarahkan masjid, bawa kefahaman agama, angkat martabat umat terhadap kefahaman mereka serta mengelak kepada perpecahan,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri akan membina tujuh buah masjid dalam tempoh 2022 hingga 2025 dengan jumlah pembiayaan RM18 juta. – MalaysiaGazette