Pegawai Maqis Pulau Pinang menunjukkan dagangan berasaskan daging babi yang dirampas di LTAPP.

BAYAN LEPAS – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 70 kilogram (kg) dagangan berasaskan daging babi di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini semalam.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib Hashim berkata, dagangan bernilai RM12,305 itu dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jelas beliau, semakan mendapati dagangan itu dibawa masuk dari China, Singapura dan lain-lain negara.

Antara dagangan yang dirampas.

“Antara dagangan yang kita rampas adalah sosej babi, daging salai dan pelbagai lagi hasilan berasaskan haiwan tersebut dengan keseluruhan berat dagangan sebanyak 70 kg.

“Siasatan lanjut mendapati dagangan berasaskan daging babi itu ditahan kerana tidak mempunyai permit import serta sijil kesihatan veterinar yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Muhammad Ikram, pintu masuk Maqis seperti LTAPP merupakan kawasan yang berisiko tinggi untuk terjangkiti African swine fever di mana penumpang dari pelbagai negara membawa produk makanan tersebut melalui bagasi ke negara ini.

“Daging babi merupakan haiwan berisiko dan mudah dijangkiti penyakit seperti African Swine Fever (ASF) walaupun ia telah diproses dan tersedia untuk dimakan.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast