Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Modul pembelajaran Tahfiz Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) Kerajaan Negeri Pahang kini menjadi contoh di peringkat Persekutuan.

Ia  dilaksanakan di semua Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di negara ini, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Menurutnya, pelaksaanan modul pembelajaran tersebut dijangka akan dilaksanakan pada sesi akademik tahun 2024 nanti.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan akan dilancarkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Modul TTNP kerajaan negeri Pahang  telah mencadi contoh diangkat ke peringkat Persekutuan untuk pembelajaran di tabika Kemas seluruh negara.

“Maksudnya modul tahfiz negeri kita ini memberi kesan positif kepada pelajar-pelajar bukan sahaja dipraktiskan dan disemat dalam hati pelajar.

“Pihak Persekutuan sudah datang membuat penilaian dan diadakan sesi bengkel dan bawa ke jawatankuasa pusat, hanya tinggal untuk dilancarkan oleh TPM nanti,” katanya.

Jelas Syed Ibrahim, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang selaku organisasi yang bertanggungjawab dalam pendidikan telah menyediakan pendidikan Islam dan tahfiz secara sistematik dari peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke peringkat diploma.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan tahfiz di negeri ini.

Tadika Tahfiz Negeri Pahang yang bermula pada tahun 2018 kini telah berkembang kepada 21 tadika di seluruh negeri Pahang yang menyediakan pengajian tahfiz kepada  lebih 706 murid tadika.

Pengukuhan pendidikan tahfiz diteruskan melalui pembukaan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang pada tahun 2021 di Tanjung Lumpur yang menggabungkan modul Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan modul hafazan dan mempunyai seramai 267 murid.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata  Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) diwujudkan pada tahun 2021 dan kini mempunyai pelajar seramai 126 pelajar.

”MTTNP ini merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menggabungkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Tahfiz dan Turath dalam pengajian.

“Manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Tanjung Lumpur yang turut menempatkan pelajar-pelajar Tahfiz Profesional dan Diploma Tahfiz telah mempamerkan kecemerlangan dari sudut akademik dan hafazan,” katanya.

MTNP berjaya mengekalkan ranking pertama di negeri Pahang untuk 9 tahun berturut-turut bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 14 tahun berturut-turut sebagai Mahaad Tahfiz Terbaik di Malaysia bagi program Diploma Tahfiz.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast