KUALA LUMPUR – Pertahanan Sri Pahang FC, Stefano Brundo berharap kesilapan lalu tidak berulang apabila mereka membuat perhitungan menentang Selangor FC pada aksi pusingan 16 Piala FA esok.
Baginya, perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu sangat penting memandangkan ia adalah aksi kalah mati dan keutamaan mereka adalah untuk memburu jaringan berharga dalam tempoh 90 minit.
Sedar dengan prestasi skuad kendalian Tan Cheng Hoe, Brundo menjangkakan dia dan rakan sepasukan tidak berdepan laluan mudah dan perlu lebih berhati-hati bagi memastikan tiada kesilapan dilakukan terutamanya pada minit-minit akhir.
“Kalau kita tengok semula ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super, mereka berjaya menjaringkan gol pada minit akhir dan akhirnya kami seri.
“Itu sungguh mengecewakan tetapi esok kita tidak boleh buat kesilapan sama dan satu pasukan harus menang dalam tempoh 90 minit perlawanan.
“Jadi, kami berharap peluang itu memihak kepada Sri Pahang dan saya tahu Selangor sekarang begitu kuat selepas beberapa perlawanan ini.
“Tetapi kami juga mempunyai pasukan yang bagus dan akan cuba bekerja keras untuk memberikan yang terbaik pada malam esok,” katanya.
Brundo ketika ini cemerlang dengan enam gol secara keseluruhan termasuk satu jaringan di pentas Piala FA dan menjadi antara taruhan terbaik untuk terus membantu pasukan kali ini.
Meskipun hadir selaku pemain pertahanan, pemain dari Argentina ini juga cemerlang di bahagian tengah bersama-sama Nor Azam Azih dan keutamaannya adalah untuk memastikan kemenangan kepada pasukan tidak kira siapa yang menjaringkan gol.
“Tentunya saya sangat gembira kerana terlebih dahulu pasukan masih belum tewas dalam lapan perlawanan liga dan secara peribadi saya juga gembira dengan gol yang telah dijaringkan untuk bantu pasukan.
“Saya pun dah mula bermain di bahagian tengah dan bila ada peluang, saya akan cuba bantu di bahagian depan juga, tetapi ini adalah kerjasama satu pasukan.
“Azam juga banyak membantu dalam melakukan hantaran dan saya rasa dengan usaha keras semua pemain ini, kami boleh terus melakukan yang terbaik”, tambahnya.
Selain aksi antara Selangor dan Sri Pahang, tiga lagi perlawanan akan berlangsung esok membabitkan Sabah FC menentang Kelantan United FC, Negeri Sembilan FC lawan PIB FC dan Kuching City FC menerima kunjungan Penang FC. – MalaysiaGazette