KUALA LUMPUR – Pelakon, Uqasha Senrose tampil berkongsi pengalaman insiden suaminya dilibas dengan cota besi bertubi-tubi di karnival Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura berlaku di depan mata sendiri bulan lalu.
Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, sebaik insiden berlaku sepantas kilat, dia terus mengejar penyerang yang tidak berperikemanusiaan itu tanpa menyedari Kamal Adli mengalami pendarahan teruk ketika itu.
Jelasnya, selepas penyerang itu diberkas, dia tidak menyangka Kamal mengalami kecederaan di mana kain yang digunakan untuk mengelap darah boleh diperah dan keluar macam air.
“Ketika adegan kejar itu saya sempat menjerit, saya kata, kenapa pukul laki aku. Namun saya ditahan orang sekeliling untuk terus kejar lelaki itu.
“Ketika melihat wajah penyerang itu, dia seolah-olah bersikap tidak bersalah dan masih sempat menunjukkan cota kepada saya dan adik-beradik lain dengan riak sombong.
“Daripada pemerhatian, dia nampak normal dan berpenampilan seperti lelaki lain ketika itu dan tidak menunjukkan ciri-ciri mencurigakan,” katanya pada majlis pengenalan pelakon filem Sumpahan Jerunai di sini semalam.
Pada 12 Mac lalu, Kamal diserang individu tidak dikenali berusia 33 tahun ketika sedang bergambar bersama peminat di sebuah acara ekspo di Singapura.
Kejadian mengejutkan itu berlaku secara tiba-tiba dan penjenayah yang melakukan serangan dengan cota besi sudah diberkas selepas orang ramai menahan individu tersebut.
Kamal dipukul di bahagian kepala berkali kali dan penjenayah tersebut turut mengugut untuk mencederakan pelakon itu serta adik-beradiknya.
Mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatan terkini Kamal, Uqasha, 30, berkata, suaminya itu masih mengalami ganggu emosi yang tidak stabil mengikut keadaan tertentu.
Sebagai isteri, katanya, dia hanya mampu melayan emosi suami itu yang turut mengalami penurunan berat badan selepas insiden ngeri itu.
“Sepatutnya Kamal kena buat x-ray untuk lihat kesan jangka panjang tapi dia tak nak sampai sekarang. Saya pula tak mahu paksa dia untuk pergi hospital,” katanya.
Sementara itu, selain Uqasha, Sumpahan Jerunai menampilkan barisan pelakon terkenal dan berpengalaman antaranya Bront Palarae, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Tony Eusoff, dan Ruminah Sidek.
Filem itu dihasilkan berdasarkan kisah benar yang memaparkan sejarah kaum Melanau berkaitan adat pengebumian bangsawan Melanau di Sarawak.
Filem seram terbitan Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd bakal menemui penonton di pawagam pada Julai ini. – MalaysiaGazette