SELAYANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan berita baik untuk peniaga Menu Rahmah pada Selasa ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berita baik itu berkaitan harga bahan mentah lebih rendah khusus kepada 1,700 peniaga menu tersebut yang berdaftar dengan kementerian.
Katanya, KPDN sedang melakukan pelbagai libat urus dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai dan yakin ia akan dapat diselesaikan segera.
“Libat urus ini akan terus diadakan supaya pasar raya besar boleh juga memberikan tawaran Rahmah kepada semua peniaga Menu Rahmah.
“Mungkin mereka akan diberi kad, atau ada pengenalan khas untuk mereka. Bila mereka tunjuk kad yang KPDN akan pastikan kesahihannya, mereka boleh pergi ke pasar raya yang mengambil bahagian.
“Di sana, mereka akan dapat beli dengan harga lebih rendah daripada harga biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan skim harga maksimum musim perayaan hari raya Aidilfitri 2023 di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Menurut Salahuddin lagi, berdasarkan cadangan, peniaga akan mendapat harga lebih rendah untuk barangan asas seperti beras, ayam, sayur dan bahan lain seperti bawang, halia serta cili.
Ujarnya, perincian mengenai barangan dan mekanisme masih lagi dalam perbincangan dan akan diumumkan Perdana Menteri nanti.
“Insya-Allah ini berita gembira dalam pakej berita gembira yang Perdana Menteri akan umumkan Selasa ini. Kami adakan sedikit libat urus dengan beberapa industri, yang dah setuju pun ada.
“Jika ada kesepakatan, PM akan umum berita gembira kepada peniaga Menu Rahmah pada Selasa ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette