ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berkait kekecohan yang berlaku di Pasar Raja Bot, Chow Kit di sini baru-baru ini.

Siasatan dilakukan susulan tular sebuah rakaman di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya berkata, video berkenaan dikesan pihaknya pada pukul 8.30 malam tadi.

Menerusi rakaman video berdurasi 50 saat itu kelihatan berlaku kekecohan di dalam sebuah pasar raya dan di perkarangan pasar raya terbabit membabitkan beberapa individu memakai ves dipercayai dari sebuah persatuan peniaga serta peniaga gerai di situ.

“Terkesan tag Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran di Twitter milik mambiar24 satu video TikTok milik akaun ustafa_khan1992 memaparkan insiden kekecohan membabitkan beberapa individu di Pasar Raja Bot.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur sudah pun membuka satu kertas siasatan ke atas video sama yang tular sebelum ini pada 11 April lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Dellhan, siasatan sedang berjalan dan beberapa individu serta pihak tertentu sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut. – MalaysiaGazette