Nazrul Mansor mengedarkan pek makanan FGV Seikhlas Hati di PPR Seri Perak, Bandar Baru Sentul semalam.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘FGV Seikhlas Hati’ yang menawarkan produk keluarannya pada harga berpatutan kepada komuniti-komuniti B40 di sekitar Lembah Klang.

Fasa pertama program ini menawarkan 10,000 pek barangan makanan asas pada harga istimewa khusus untuk golongan memerlukan di kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang.

Setiap pek barangan makanan FGV Seikhlas Hati mengandungi sebotol minyak masak Saji 2kg, setin krimer manis SAJI 500 gram, sekotak krim kelapa Saji 200 gram, serta sebungkus Gula Prai 1kg. Barangan yang bernilai RM22 itu akan dijual kepada warga PPR terpilih pada harga serendah RM10 sahaja.

Bagi mengenalpasti penerima yang layak, FGV turut bekerjasama dengan ketua-ketua penduduk, pertubuhan-pertubuhan amal serta agensi-agensi kerajaan untuk mengagihkan baucar-baucar FGV yang boleh ditebus untuk pembelian pek FGV Seikhlas Hati.

Inisiatif CSR ini dimulakan semalam dengan penjualan 1,000 pek di Pangsapuri Seri Perak, Bandar Baru Sentul. FGV berhasrat untuk meneruskan usaha jualan pek FGV Seikhlas Hati ini sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya, bagi membekalkan barangan keperluan makanan pada harga yang lebih rendah kepada golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, kenaikan harga barangan keperluan termasuk makanan kini amat membimbangkan.

Ianya bukan sahaja memberi kesan kepada isi rumah golongan B40 tetapi juga kepada mereka dalam kategori berpendapatan sederhana (M40), terutamanya yang menetap di kawasan bandar.

“Melalui program FGV Seikhlas Hati, FGV dapat membantu masyarakat terutamanya pembeli setia produk-produk kami. Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu komuniti-komuniti setempat di sekitar operasi perniagaan FGV.

“Sebagai sebuah syarikat pengeluar makanan di Malaysia, matlamat kami adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada bahan-bahan keperluan masakan rakyat Malaysia terdiri daripada produk keluaran FGV.

“Kami berharap jualan ini dapat memperkenalkan seleksi produk kami kepada masyarakat khususnya golongan B40 serta dapat mengukir senyuman di wajah mereka dalam membuat persedian Hari Raya Aidilfitri. Kami juga bersyukur kerana objektif program FGV Seikhlas Hati ini seiringan dengan aspirasi Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke-10, aspirasi yang berteraskan nilai kemanusian dengan slogannya, ‘Negara Bangsa Progresif’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast