Dr. Muhamad Akmal Salleh

MELAKA – Kerajaan negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan program Jualan Murah Hari Mantai pada Khamis ini di keenam-enam kawasan Parlimen di Melaka sempena persiapan menyambut Aidilfitri.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata menerusi jualan program itu, pengguna akan menikmati potongan harga barangan keperluan sekurang-kurangnya 10 peratus lebih murah daripada pasaran.

“Lokasi pasar tani yang dikenal pasti ialah kawasan yang mudah dikunjungi rakyat di negeri ini mengikut kawasan masing-masing dan inisiatif jualan tersebut antara usaha kita membantu mengurangkan beban belanja dalam melakukan persiapan menyambut lebaran.

“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat dan kita juga berharap pengguna tidak melepaskan peluang ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri¬†Program Jualan Syawal Madani dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Peringkat Negeri di Merlimau di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah FAMA negeri Hairudin Yunos.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, hasil penilaian di lapangan pihaknya juga mendapati barangan keperluan untuk sambutan perayaan hari raya seperti telur, ayam, daging, santan juga mencukupi selain harga ditawar mengikut harga siling ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata sempena Jualan Syawal Madani dan JTDL itu, FAMA turut menawarkan jualan istimewa daging berharga RM30 sekilogram kepada 100 pengunjung terawal dan promosi menggunakan 220 kupon melalui AgroBazaar Online.

“Kita menyasarkan jualan pada program ialah RM70,000 di samping memberi kemudahan kepada pengguna mendapatkan bekalan dan membantu usahawan meluaskan pasaran produk mereka,” katanya. – BERNAMA