Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

LABUAN – Kementerian Kewangan (MOF) telah meminta Dewan Perniagaan Labuan (LCC) mengemukakan laporan penuh berhubung isu dan cabaran ekonomi yang dihadapi di pulau bebas cukai itu untuk perhatian segera.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim berkata, laporan itu diperlukan untuk kajian secara terperinci dan penyelesaian yang menyeluruh.

“Saya telah mendengar taklimat mengenai pelbagai isu dan cabaran ekonomi di Labuan yang terpaksa dihadapi oleh komuniti perniagaan serta orang ramai secara keseluruhan dan saya telah mengambil maklum perkara itu.

“Kami mahu laporan penuh dan akan melihatnya secara menyeluruh,” katanya selepas melawat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Sim berkata, laporan itu perlu memasukkan isu berkaitan pemulihan sepenuhnya status bebas cukai Labuan.

“Mereka telah memberi taklimat mengenai pengembalian rokok bebas cukai di Labuan dan jumlah cukai hampir dua kali ganda bagi kenderaan yang dibeli di pulau ini selepas tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata, isu di bawah bidang kuasa MOF akan ditangani termasuk berkaitan kastam yang akan dibawa kepada Ketua Pengarah untuk penyelesaian lebih baik.

“Kami ingin berbincang dengan pihak kastam cara untuk menjalin kerjasama dengan (pemain industri) sektor swasta bagi membangun dan memudahkan perniagaan.

“Kerjasama erat antara pihak kastam dan sektor swasta akan membolehkan kami menambah baik dasar sedia ada untuk merangsang ekonomi serta memanfaatkan rakyat,” katanya.

Sim, yang dalam lawatan sehari ke Labuan, antara lain telah diberi taklimat mengenai perkhidmatan pengendalian pelabuhan Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), aktiviti kapal ke kapal Victoria STS Sdn Bhd dan isu berkaitan status bebas cukai di Labuan oleh Pengerusi LCC Daniel Doughty. — BERNAMA