Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi - foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Pas Selangor menjunjung kasih titah peringatan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh isu penyatuan dan perpaduan ummah khusus di kalangan umat Melayu Islam di negeri ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, baginda dengan penuh prihatin telah menzahirkan kebimbangan akan perpecahan di kalangan orang Melayu akibat perbezaan pendirian politik.

Katanya, baginda menyifatkan perpecahan itu boleh mengakibatkan orang Melayu di negara ini akan terus lemah dan hilang kuasa memerintah satu hari nanti.

“Malah, baginda mengingatkan orang Melayu akan menjadi bangsa yang mundur dan terpinggir di tanah air sendiri sekiranya perpecahan itu tidak dibendung.

“Justeru, Pas Selangor akur dan turut berkongsi kebimbangan Tuanku itu dengan menyeru orang Melayu khasnya memberi sokongan ke atas usaha menyatupadukan ummah demi membina kekuatan politik umat Melayu dalam negara.

“Dengan cara ini kuasa memerintah akan kekal di tangan mereka dan tidak jatuh ke pihak lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketika bertitah merasmikan Masjid Al-Ma’arufiah Kampung Parit Baru, Sungai Air Tawar Jumaat lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda sekiranya perpecahan dibiarkan berterusan akibat fahaman politik.

Titahnya, ia akan membuatkan umat Islam khususnya Melayu akan terus lemah di negara ini dan tidak mustahil Melayu akan hilang kuasa memerintah negara, malah menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir di negara sendiri.

Tegas baginda, peristiwa yang berlaku di beberapa negara Islam terutamanya di Timur Tengah dan sejarah keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka boleh diambil iktibar serta tauladan.

Menurut Ahmad Yunus, baginda juga turut menyentuh darihal Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) yang bakal diadakan dengan menasihati rakyat jelata memilih pemimpin beramanah, bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

Katanya, Pas Selangor memandang serius nasihat Tuanku yang mencerminkan hasrat baginda agar rakyat tidak tersalah pilih dalam PRN ini.

“Pas Selangor memberi komitmen akan membariskan calon berintegiriti, kompeten dan bebas rasuah sebagai pilihan terbaik untuk rakyat negeri ini.

“Demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menghormati proses demokrasi, Pas berikrar akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuanku dan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang tempoh kempen PRN nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast