Kompleks Mahkamah Alor Setar

ALOR SETAR – Seorang pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas satu pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira dua tahun lepas.

Tertuduh Muhammad Zakir Ramli, 29, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar yang bersifat lucah menggunakan aplikasi itu pada 20 Mei 2021 jam 7.30 pagi hingga 3.02 pagi pada 28 Mei 2021.

Gambar itu kemudian telah dilihat pada 28 Mei 2021, jam 12.11 tengah hari, di sebuah kilang di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Nazrul Nizam Mohd Zameri kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan dia bekerja sambilan dengan gaji sekitar RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anaknya berusia setahun.

Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast