Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk menawarkan rebat tarif air kepada sekolah berdaftar di negeri ini untuk “penggunaan air bukan domestik”.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sehubungan itu, semua sekolah berdaftar di Pulau Pinang seperti sekolah kerajaan, swasta, antarabangsa, kolej, sekolah agama dan tadika boleh memohon rebat berkenaan.

“Rebat 30 peratus untuk bil air sekolah adalah untuk ‘penggunaan bukan domestik’ di Pulau Pinang selama enam bulan tahun ini iaitu April hingga September nanti.

“Pentadbir sekolah mesti memohon rebat daripada PBAPP sebelum 30 Sept dan permohonan dibuka mulai hari ini dengan borang permohonan boleh dimuat turun secara dalam talian daripada laman web PBAPP (https://pba.com.my/penang-water-tariffs/),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata, kerajaan negeri membuat keputusan itu sebagai tanda muhibah untuk mengekalkan dan menyokong hubungan baik dengan 1,712 sekolah di Pulau Pinang yang menyediakan pendidikan rendah dan menengah kepada beribu-ribu anak muda Pulau Pinang setiap hari.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, menerusi “Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Pulau Pinang) (Pindaan) 2022” telah diwartakan pada 29 Julai 2022 dan Peraturan Persekutuan itu menyemak tarif untuk “penggunaan air bukan domestik” dan dengan jelas menyatakan bahawa penggunaan air di sekolah mesti dibilkan sebagai “penggunaan bukan domestik”.

Katanya, Peraturan Persekutuan yang serupa turut diwartakan serentak pada 27 Julai 2022 untuk pelaksanaan di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa Kerajaan Persekutuan (sebelum ini) telah mewartakan tarif air baharu untuk ‘penggunaan bukan domestik’ bukan sahaja untuk Pulau Pinang, tetapi untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 27 Julai 2022.

“Ia juga jelas bahawa kerajaan Persekutuan (sebelum ini) yang telah menetapkan dan meluluskan peraturan yang mentakrifkan penggunaan air di sekolah sebagai “penggunaan bukan domestik”, dan bukannya PBAPP atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Namun, dengan mengambil kira maklum balas oleh pihak berkuasa sekolah, PBAPP bersetuju untuk menanggung kos rebat enam bulan untuk sekolah-sekoinang dengan unjuran jumlah kos rebat ini ialah RM2.1 juta.

Menurutnya, PBAPP juga mengekalkan purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter pertama sebulan pada 32 sen setiap 1,000 liter pada tahun ini dan ia adalah tarif air domestik terendah di Malaysia dan satu daripada yang terendah di Asia.

“Purata tarif domestik menerima subsidi yang besar dan pada 2022, jumlah subsidi tarif domestik yang ditanggung oleh PBAPP berjumlah RM103.7 juta yang telah memanfaatkan 585,740 isi rumah,” katanya. – BERNAMA