V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) dipercayai telah menggantung tugas beberapa pegawai kanan termasuk Setiausaha Sulit kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar hari ini.

Turut digantung ialah pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai-pegawai ini dalam siasatan rasuah berhubung kelulusan pekerja asing dianggarkan bernilai sekitar RM97 juta.

MalaysiaGazette difahamkan melalui sumber KSM, Sivakumar bertindak menggantung pegawai-pegawai kanannya serta-merta semalam.

“Memang sudah ada pegawai digantung. Semua maklumat berkaitan perkara ini akan dimaklumkan kelak. Siasatan SPRM masih lagi berjalan,” katanya ringkas.

Sivakumar telah hadir ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.

Beliau dipercayai hadir untuk diambil keterangan kira-kira pukul 10 pagi ini dan pulang selepas beberapa jam kemudian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit  Sivakumar ditahan.

Penahanan setiausaha sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira pukul 2.30 pagi selepas tindakan sama dibuat terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar sebelum itu.

Sebelum ini media mendedahkan pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Difahamkan SPRM masih sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette

Sivakumar hadir ke SPRM berhubung penahanan dua pembantu

1 Komen

  1. Kenapa Sivakumar gantung tugas 2 pegawai tu? Hanya Kes siasatan SPRM sahaja bukan telah bersalah dijatuh hukuman mahkamah.
    Welanon yang sedang dibicara MAHKAMAH pun TIADA SEKATAN untuk menggali Kementerian.
    pegawai tu perlu gunakan bantuan UMNO.. kenyit mata kat Anwar Ibrahim

Comments are closed.