KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dilaporkan telah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Kehadiran menteri itu berhubung penahanan dua pembantu kanannya yang berhadapan dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing.
Seorang pembantu kepada Sivakumar memberitahu, menteri itu telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk “formaliti tertentu”.
“Dia bukan saksi mahupun suspek. Dia berada di sana sebentar dan telah meninggalkan pejabat (SPRM),” katanya kepada FMT.
Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.
Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.
Media sebelum ini melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan SPRM berhubung dakwaan tersebut.-MalaysiaGazette