KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya ada usaha terancang menyingkirnya daripada mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara tidak benar sama sekali.
Ini kerana kuasa melantik wakil yang layak mewakili negeri itu adalah Sultan Kedah, Sultan Badlishah mengikut Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan.
Seorang pengamal undang-undang, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, mengikut Perkara 108, dalam hal pelantikan Majlis Kewangan Negara menetapkan ia perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri yang dilantik manakala setiap negeri diwakili individu yang diperkenan sultan atau Yang Di-Pertua Negeri.
“Dalam hal ini, Tuanku bukan pandai-pandai nak hantar orang lain ke sana dan keputusan baginda itu bukan atas dasar dihasut orang lain tetapi berdasarkan peraturan Majlis Kewangan Negara.
“Beliau ingat Tuanku saja-saja nak hantar orang lain, bukan dirinya? Bacalah Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan ini.
“Ini maknanya Tuanku lagi bijaksana. Penasihat Tuanku tu Pegawai Undang-Undang Negeri. Tuanku juga ada institusi sendiri. Ada pejabat sendiri. Ada pegawai sendiri,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Muhammad Sanusi kononnya ada usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai Menteri Besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.
Muhammad Sanusi yang tidak mendedahkan pihak didakwa mengetuai gerakan itu menjelaskan, ada usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.
Dakwa beliau, gerakan itu bertentangan dengan konvensyen Majlis Kewangan Negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, diurus selia Menteri Kewangan dan dianggotai Jemaah Menteri serta wakil negeri dalam kalangan Menteri Besar atau Ketua Menteri sebelum ini.
Menurut Dr. Zulqarnain, tindakan Menteri Besar itu membuat andaian wujud usaha melobi sultan juga amat biadab dan memandang rendah kebijaksanaan Tuanku.
Beliau turut menasihatkan Muhammad Sanusi supaya menjaga mulut dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan pemimpin di peringkat pusat.
“Elok jaga mulut tu, terkena cabai merah bibir tu nanti dan kena ingat kamu dilantik sebagai Menteri Besar atas ihsan Tuanku.
“Kalau Tuanku tengok hangpa duk asyik cari gaduh dengan Federal memang eloklah Tuanku hantar orang lain pi bincang elok-elok dengan PM10.
“Jadi MB ini ada had kuasa dalam Undang-Undang Tubuh Negeri. Jangan hangpa duk suka hati langgaq pulak sampai kuasa Tuanku pun hangpa jadikan pertikaian nasional,” katanya dalam loghat Kedah. – MalaysiaGazette