Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Memasuki hari terakhir Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnahnya pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, tiada tanda-tanda Datuk Seri Anwar akan memenuhi tuntutan itu.

Berikutan itu, Dr. Mahathir berkata, beliau akan meneruskan saman tersebut terhadap Perdana Menteri.

“Hari ini hari terakhir untuk Datuk Seri Anwar dan peguamnya menjawab surat dari peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga.

“Jika tidak, saya telah arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas tempoh lanjutan tuntutan itu sehingga 17 April tidak dihiraukan Anwar.

Dalam kenyataan tujuh perenggan itu, Dr. Mahathir berkata, pihaknya mengetahui bahawa Anwar ada mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan Mahathir.

“Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya.

“Saya tidak ambil tindakan kerana saya anggap ianya perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi Perdana Menteri.

“Tetapi hari ini, apabila dia dah jadi Perdana Menteri dia masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang,” jelas Dr. Mahathir.

Pada 27 Mac lalu, Mahathir mengemukakan notis tuntutan kepada Anwar menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, sebelum ini memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan yang dibuat pada 18 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, Tetuan Rafique berkata, ia menerima makluman daripada peguam cara Anwar, Tetuan Thomas Phillip bahawa mereka memohon masa hingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan terbabit.

Pada 28 Mac lalu, Dr. Mahathir menerusi satu sidang media berkata, walaupun Anwar tidak menyebut namanya (dalam kenyataan itu) tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepadanya. – MalaysiaGazette