Enam warga asing pecah masuk pejabat dan melarikan mata wang asing pelbagai negara diberkas polis.Ihsan IPD Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Sekumpulan enam lelaki warga asing yang disyaki memecah masuk sebuah pejabat dan melarikan mata wang asing berjumlah RM50,000 dicekup plis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kira-kira jam 1.55 tengahari 1 April lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai kejadian pecah pejabat di Wisma Manuris, Wangsa Maju, di sini.

“Pada 13 April lalu jam lebih kurang 2 pagi, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju telah membuat beberapa serbuan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Hasil dari serbuan tersebut telah berjaya menahan enam lelaki warga asing berusia di antara 31 tahun hingga 41 tahun di Mizumi Resident, Jalan Metro Perdana, Metro Prima Kepong kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah pejabat yang disiasat polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Enam warga asing pecah masuk pejabat dan melarikan mata wang asing pelbagai negara diberkas polis.Ihsan IPD Wangsa Maju

Tambah beliau, penahanan suspek membawa kepada rampasan 38 keping mata wang asing pelbagai negara serta pakaian yang dipakai mereka ketika melakukan jenayah itu.

Menurut Ashari, polis turut merampas  dua buah beg silang, sepasang kasut, empat buah walkie talkie, tiga set grinder, sebuah Rotary Hammer, sebuah pemutar elektronik, lima batang pencungkil kuku kambing.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek telah pecah masuk pejabat tersebut melalui bumbung di tingkat atas bangunan.

“Selain itu, kesemua suspek juga terlibat dengan dua kes lain di sekitar ibu negara dan Shah Alam, Selangor,” ujarnya.

Ashari berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga sehingga 20 April ini dan siasatanmasih dilakukan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas. – MalaysiaGazette