Rak menjual minyak masak paket bersubsidi 1 kg di sebuah pasar raya di Kuantan mengenakan syarat pembelian tiga paket seorang.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak bercadang untuk mengurangkan kuota minyak masak subsidi kepada 40,000 tan metrik sebulan.

KPDN berkata, ini kerana daripada jumlah kuota 60,000 tan metrik itu yang bersamaan 60 juta pek minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) adalah mencukupi sekiranya digunakan oleh isi rumah sahaja.

“KPDN ingin memberikan penjelasan lanjut berhubung isu kuota minyak masak subsidi yang mungkin akan dikurangkan kepada 40,000 tan metrik sebulan yang dilaporkan oleh media arus
perdana baru-baru ini.

“KPDN ingin memaklumkan bahawa, setakat ini, kuota sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak subsidi adalah kekal,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan, hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan laporan berita mengenai kenyataan Ketua Setiausaha KPDN bahawa kouta minyak masak bersubsidi mungkin akan dikurangkan kepada 40,000 tan sebulan berikutan jumlah sedia ada tidak dapat dipenuhi syarikat pembungkus atas pelbagai faktor, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Namun kementerian berkenaan berkata, hasil pemeriksaan harian mendapati kekurangan minyak masak bersubsidi sering berlaku di kawasan tertentu yang berpunca daripada pembelian oleh bukan isi rumah dan sektor perniagaan.

“Situasi ini banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain terutama pembelian oleh golongan bukan isi rumah, pembukaan sektor perniagaan yang menggunakan minyak masak dalam perniagaan mereka, syarikat-syarikat pembungkus yang tidak beroperasi pada tahap maksima, masalah pengedaran, tindakan kes-kes oleh KPDN sendiri selain digunakan bagi pelbagai program anjuran Kerajaan,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette