KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan hasil rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hujung Mei ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yakin pembahagian kerusi bagi parti itu dimuktamadkan dengan sepakat menerusi mesyuarat PH tidak lama lagi.
“Saya percaya tidak lama lagi pimpinan akan umum hasil perundingan kerusi, saya jangka keputusan sangat positif. Mesyuarat kali terakhir adalah beberapa minggu lalu seterusnya nanti mungkin akan ada perkembangan.
“Saya jangka ia diumum selepas Aidilfitri atau hujung Mei,” katanya ketika sidang media pelancaran Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) di sini hari ini.
Bagaimanapun Fahmi berkata, maklumat tepat boleh dirujuk kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen PH bagi menghadapi PRN di enam negeri hampir selesai.
Ujarnya, kata sepakat sedang ditunggu antara PH dan Barisan Nasional (BN).- MalaysiaGazette