KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor bersedia untuk berdepan dengan saman sebanyak RM67.461 juta oleh sebuah syarikat barangan kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Syarikat itu menuntut barang kemas yang didakwa dihantar kepada isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tujuan pameran dipulangkan.
Menurut kenyataan firma guaman yang mewakili Rosmah, Reza Rahim & Rajivan, anak guamnya akan membela dan mempertahankan diri.
“Ketika ini anak guam kami belum lagi menerima writ dan penyataan tuntutan berhubung perkara ini oleh syarikat berkenaan.
“Saman seperti ini telah difailkan oleh syarikat berkenaan sebelum bertindak balik saman itu di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
“Dengan ini kita berharap pihak media dan umum tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung perkara ini kerana ia boleh dianggap sebagai subjudis prosiding undang-undang atau memfitnah anak guam kami,” katanya.
Hari ini media melaporkan, syarikat berkenaan telah meminta pembayaran kos barang kemas itu sebanyak AS$14,567,270 (RM67,461,027) sebagai ganti rugi.
Kenyataan tuntutan itu difailkan bagi pihak Global Royalty oleh firma guaman David Gurupatham and Koay.
Firma tersebut pernah memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta pada tahun 2019 namun ditarik balik.
Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, firma itu menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara RM519,183 dan RM3. 8 juta kepada defendan, yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.
Rosmah pula dalam pernyataan pembelaannya menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata, barang kemas itu dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri dengan kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membelinya. – MalaysiaGazette