Fahmi semasa merasmikan PEMANGKIN di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan sektor tumpuan ditambah dalam Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN)  dengan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program di bawah  Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu dijangka dapat menjana hampir 49,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

“Sembilan sektor termasuklah pertanian digital, pelancongan digital, bandar digital, kandungan digital, kewangan digital, perdagangan digital, perkhidmatan digital, kesihatan digital dan ekonomi digital Islam,”  katanya ketika sidang media selepas merasmikan PEMANGKIN di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

Jelas Fahmi, program berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk memajukan dan membangunkan sektor-sektor ekonomi.

Beliau berharap, penambahan sektor tumpuan berkenaan akan dapat meningkatkan daya saing di samping memacu inovasi serta kerjasama dalam kalangan pemain industri.

Dalam masa yang sama, beliau juga berhadap supaya PEMANGKIN tidak hanya memanfaatkan syarikat-syarikat besar malah meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Hasrat saya dan kementerian adalah usaha ini bukan hanya memanfaatkan syarikat-syarikat besar tetapi rakyat sama ada yang mendapat pekerjaan dalam sektor ekonomi digital atau dalat  memanfaatkan prasarana sedia.

“Contohnya bagi mereka yang sebelum ini bekerja di rumah dengan perlhidmatan digital kini boleh meningkatkan pendapatan melalui PEMANGKIN,” jelasnya.

Sebagai rekod, Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan pada tahun lepas merupakan inisiatif strategik nasional untuk menggalakkan dan menarik syarikat, bakat dan pelaburan di samping membolehkan syarikat-syarikat Malaysia serta rakyat memainkan peranan utama dalam ekonomi digital global.

Mengulas lanjut, Mahadhir berkata, sembilan sektor tumpuan berkenaan dipilih kerana berdasarkan potensinya kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kita dapati ada semua sektor ini masing-masing ada kelemahan dan kekuatan di mana infrastruktur yang disediakan kerajaan dan syarikat ada di setiapnya.

“Kita juga lihat ianya berpotensi untuk eksport negada bukan hanya cipta perniagaan dalam negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, perincian berkenaan program berkenaan akan diumum MDEC tidak lama lagi. – MalaysiaGazette