Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Johor dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) mengambil tindakan segera bagi membanteras aktiviti penerokaan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di negeri berkenaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak bertanggungjawab itu perlu memberi perhatian serius agar penerokaan tersebut tidak berterusan.

Jelas beliau, mengikut dakwaan JPNJ, lebih 10 kawasan HSK negeri Johor dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab dan mempergunakan Orang Asli bagi tujuan projek komersial.

“Kita hairan bagaimana masalah itu boleh berlaku sejak sekian lama tanpa dikesan pihak berkuasa sehingga jumlah kawasan HSK begitu luas terbabit dengan aktiviti haram.

“Jika keadaan ini tidak ditangani segera, kita percaya ia bukan sahaja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius malah pelbagai spesies flora dan fauna mungkin pupus pada masa akan datang sekali gus memusnahkan hasil hutan yang menjadi sumber mata pencarian dan kehidupan Orang Asli di sini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan negeri, JPNJ, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil tindakan tegas serta menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 dengan berkesan.

Tegas beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menjalankan siasatan mengenai isu ini malah pemantauan kerap perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.

“CAP berpendapat aktiviti penerokaan HSK secara haram mungkin berpunca daripada kekurangan pemantauan termasuk kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan ia perlu dipertingkatkan serta dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak kerajaan.

“Kita menyokong pandangan Pengerusi Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi bahawa rizab Orang Asli Johor tidak perlu ditukar di bawah Enakmen Tanah Sultan.

“Ini kerana perizaban itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan semua negeri di negara ini yang mana kawasan dan rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 dan Kanun Tanah Negara,” katanya.

Media tempatan pada 6 April lalu melaporkan, lebih 10 kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini dipercayai diterokai oleh Orang Asli yang didalangi pihak luar yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Datuk Salim Aman berkata, penerokaan hutan oleh Orang Asli di kawasan luar rizab mereka itu untuk dijadikan penempatan, selain dibersihkan untuk tujuan peladangan getah dan kelapa sawit berskala besar yang berkos besar.

Katanya, HSK hanya kawasan rayau bagi Orang Asli mencari hasil serta memburu bagi kegunaan sendiri dan ia tidak boleh diterokai oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersil. – MalaysiaGazette