Zulkifli atau Zul Tok Kerawat (depan, tengah) bersama barisan kepimpinan baharu UMNO Bahagian Tumpat selepas menang dalam pemilihan semula Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Penyandang Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah berjaya mengekalkan jawatan dalam pemilihan semula UMNO 2023 pada Sabtu lalu.

Beliau mendapat 526 undi mengalahkan pencabarnya, Rosdi Mamat yang memperoleh 448 undi daripada lebih 1,000 perwakilan.

Dengan kemenangan itu, Zulkifli meneruskan legasi pentadbiran UMNO Bahagian berkenaan untuk penggal ketiga berturut-turut.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula, muka baharu, Mohd Fakruddin Ariffin mengatasi calon lain dengan 556 undi dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat yang juga muka baharu dimenangi Abdul Mannan Md Said yang mendapat 601 undi.

Pemilihan semula UMNO Bahagian Tumpat diadakan pada 15 April lalu berikutan Jawatankuasa Pemilihan (JBPU) parti membatalkan keputusan 18 Mac lalu kerana wujud ketidakteraturan dalam proses pengundian.

Surat pembatalan bertarikh 30 Mac itu dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Tumpat, Kasim Umar dan ditandatangani Pengerusi JBPU, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Dalam pemilihan semula itu, Zulkifli yang lebih mesra dipanggil Zul Tok Kerawat dicabar dua calon termasuk Wan Mohd Sanusi Wan Yunus yang hanya mendapat 47 undi.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Kamarudin Abdullah di dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, pada petang Sabtu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast