GEORGE TOWN – Seramai 60 penarik beca di bandar raya ini disantuni dengan pemberian sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan asas yang bernilai RM100 itu disumbangkan SMS Deen Jewellers berdasarkan pemilihan yang dilakukan kariah Masjid Kapitan Keling di sini hari ini.

Selain itu, sebuah pusat anak-anak yatim serta empat pusat tahfiz di sekitar Air Itam, Bayan Lepas dan Gelugor masing-masing turut menerima sumbangan RM1,000.

Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen Jewellers, Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen berkata, program tersebut merupakan salah satu program khidmat masyarakat (CSR) pihaknya bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menikmati Aidilfitri sama seperti orang lain.

Mohamad Shaifudeen.

Jelas beliau, penarik beca dipilih susulan mereka antara golongan yang selalu terlepas pandang dalam pemberian sumbangan selain kebanyakan pengayuhnya telah mencecah usia 55 tahun ke atas.

“Orang selalu ingat golongan fakir miskin terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim hingga terlupa akan nasib penarik beca.

“Dengan pemberian sumbangan ini saya harap mereka dapat membuat persiapan hari raya dan menyambutnya dengan lebih ceria,” katanya sambil menambah jumlah keseluruhan nilai bantuan RM10,000.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ahmad Zakiyuddin turut hadir pada program tersebut.

Sementara itu, penarik beca, Awang Man, 75, berkata, dia akan menggunakan sumbangan itu untuk membeli barangan sebagai persediaan menyambut Syawal.

“Terima kasih kepada pemberi sumbangan kerana golongan seperti kami ini jarang dibantu pada musim perayaan.

Awang Man.

“Sedangkan pada bulan Ramadan kami tak boleh jana pendapatan lebihan kerana kudrat ketika berpuasa tidak sama seperti hari biasa,” katanya.

Seorang lagi, Ngah Abdullah, 55, berkata, wang yang diterimanya akan digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan mereka empat sekeluarga.

“Barangan keperluan yang diberikan sudah boleh menjimatkan perbelanjaan dapur pak cik dan duit ini boleh digunakan membeli baju baru untuk dipakai pada 1 Syawal nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast