KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar sentiasa mengambil langkah keselamatan dan penjimatan sebelum meninggalkan kediaman sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan demi memastikan keselamatan premis dan bijak tenaga, sekaligus menyumbang kepada usaha mengurangkan jejak karbon sejajar dengan strategi kelestarian dan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Antara langkah-langkah itu katanya, suis bagi peralatan elektrik yang tidak digunakan hendaklah ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.
“Peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor bergerak lancar; Semua soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.
“Sekiranya perlu menyalakan lampu kediaman yang ditinggalkan, sila pertimbangkan penggunaan alat pengukur masasupaya ia tidak menyala 24 jam setiap hari dan buka gulungan wayar sambungan tambahan sepenuhnya bagi mengelakkan ia daripada menjadi terlalu panas sepanjang penggunaannya,” katanya.
Menurut TNB, pengguna juga dinasihatkan supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) di kediaman masing-masing, bagi mengesan jika ada sebarang kejanggalan.
Ia merupakan satu amalan yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali, katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB pengguna boleh mengeakses di laman web
www.tnb.com.my atau Facebook TNB Careline.
Tambahnya, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. – MalaysiaGazette