Pelakon, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, hadir bagi proses lafaz cerai dengan suaminya Syamsul Yusof ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana memilih busana putih untuk hadir bagi proses lafaz perceraian bersama suami yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah, 38, yang hadir penuh ceria berkata, busana yang baru dibeli itu sebagai simbolik dia mahu memulakan hidup baharu.

Sarah, 38, turut meluahkan harapan agar proses itu berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik untuk dia bergerak ke hadapan.

“Sudah tentu, ini baju baharu saya hari ini. Saya harap memang akan dilepaskan. Semoga selepas dilepaskan hari ini saya dapat memulakan baharu.

“Putih ibarat merpati putih terbang tinggi. Kalau pergi mahkamah asyik pakai hitam, saya depresi. Putih melambangkan hidup baharu.

“Hari ini macam pertunjukan fesyen, tetapi ini bukan baju nikah saya. Ini baju baharu saya,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah sebelum memasuki kamar bicara.

Sementara itu, Syamsul hadir dengan mengenakan sut biru gelap 30 minit kemudian ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.

Ditanya harapannya pada hari ini, Syamsul berkata, dia hanya meminta menunggu sehingga prosiding lafaz talak selesai.

“Kita tunggulah sehingga selesai, selebihnya ‘no comment’,” kata Syamsul ringkas.

Lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal pukul 8 pagi tadi untuk membuat liputan.

Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan sensasi ini dijangka bakal berakhir apabila Syamsul setuju melafazkan talak terhadap isteri Puteri Sarah Liyana, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 10 April lalu.

Sementara itu, peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais turut mengesahkan perkara sama dengan menjelaskan, mereka sudah mencapai kata-kata sepakat mengenai penyelesaian tuntutan perceraian.

Azmi berkata, Syamsul dan Puteri Sarah sudah bersemuka bagi membincangkan isu berbangkit mengenai masalah rumah tangga dihadapi, baru-baru ini.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang akan direkodkan.

Antara terma penyelesaian ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian. – MalaysiaGazette