Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menghalang penganjuran solat Hari Raya Aidilfitri di kawasan lapang atau terbuka di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penganjur cuma perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk melaksanakan solat di kawasan lapang.

Beliau yang juga Yang DiPertua MAINPP bagaimanapun menegaskan, kemudahan sedia ada di masjid dan surau di negeri ini lebih baik digunakan untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidifitri.

Ahmad Zakiyuddin.

“Kita tidak menghalang jika ada pihak yang mahu menganjurkan solat Aidilfitri di tempat lapang tetapi kalau hendak buat (anjur), lakukan di tempat selamat dan selesa.

“Kita ada masjid dan surau yang selesa tapi jika hendak anjurkan di tempat lain seperti kawasan lapang, dewan, kita benarkan dengan syarat perlu mendapat kebenaran MAINPP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri program sumbangan Hari Raya Aidilfitri SMS Deen Jewellers kepada 60 penarik beca di pekarangan luar Masjid Kapitan Keling di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Solat Hari Raya Aidilfitri di Perlis digalakkan bagi dilaksana di tanah lapang sebagaimana tahun sebelum ini.

Pelaksanaan itu adalah selaras dengan sunnah Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 berbanding solat di tempat tertutup.

Baginda bertitah pemilihan tanah lapang adalah tertaktuk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zakiyuddin berkata, belum ada keperluan untuk melakukan solat hajat atas faktor cuaca panas yang dijangka sehingga Ogos.

“Kita belum bincang mengenai isu ini dan solat hajat itu akan dilakukan jika berlaku kemarau berpanjangan tetapi jika cuaca begini, kita tidak anjur,” katanya ringkas.

Pada Khamis lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menjalankan operasi pembenihan awan dengan segera di kawasan tadahan empangan bagi mengelak krisis air di negeri itu. – MalaysiaGazette