KUALA LUMPUR – Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersetuju agar pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekali gus memudahkan urusan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat MPFN ke-41 semalam.
“Usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan ini secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Selain itu, beliau menambah, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.
“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian,” jelasnya.
Anwar memberitahu, MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam.
Menurut beliau, prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang 19 agensi sebelum ini.
“Manakala, tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari,” katanya.
Anwar berkata, mesyuarat tersebut turut bersetuju agar Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat.
“MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni,” jelasnya. – MalaysiaGazette