Yahaya Othman bersama anggotanya menunjukkan rampasan dadah bernilai RM4.5 juta dari rumah kondominium dalam serbuan pada 14 dan 15 April lalu oleh KOntinjen Narkotik Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki di tempat letak kereta sebuah pasaraya di Cheras, di sini, dan merampas dadah jenis syabu seberat 114 kilogram bernilai RM3.9 juta dalam kenderaan suspek pada operasi yang dilakukan pada 14 dan 15 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, soal siasat ke atas suspek berusia 29 tahun itu membawa rampasan pelbagai jenis dadah menerusi serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium di Ampang.

Menurutnya, ia membabitkan rampasan dadah jenis ekstasi seberat 1.8 kilogram (kg) bernilai RM135,000, 3.1 kg syabu (RM100,000), 1.3 kg Erimin 5 (RM52,000) dan 3 kg Ketamin (RM172,000).

Katanya, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan suspek ialah menggunakan kodominium yang dikawal pengawal keselamatan untuk menyimpan bekalan dadah.

“Suspek sindiket ini menggunakan Toyota Villfire untuk mengambil bekalan dari utara dan mengedar kepada pelanggan tetapnya secara skala besar mengikut permintaan pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, jumlah dadah yang dirampas boleh menampung penggunaan seramai 750,000 pengguna dadah.

Tambah beliau, suspek yang dilibatkan dalam ujian saringan air kencing mendapati dia bebas dadah dan semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Yahaya tidak menolak kemungkinan penglibatan suspek lain yang masih bebas dan pihaknya mempergiatkan usaha menjejaki mereka. – MalaysiaGazette